hedonisme
Pendahuluan
“Mahasiswa Agungkan Budaya Barat”, “Budaya Hiburan Melampau Jejas Martabat
Pusat Ilmu” adalah antara ratusan topik terkini yang hangat dibincangkan di
akhbar Berita Harian. Fokusnya ialah budaya hiburan yang melampau yang memberi
kesan kepada nilai murni budaya timur dan nilai Islam.(NSTP E Media 2007)
Bermacam-macam lagi tajuk artikel yang membincangkan mengenai penularan
pengaruh Barat yang dikaitkan dengan Hedonisme.. Isu yang membimbangkan ini
kini semakin hari semakin membarah seolah-olah tiada ubat bagi merawatnya
Oleh itu, pengkajian mengenai isme-isme atau ideologi Barat amat diperlukan
bagi membendung isme-isme ini dari terus menjahanamkan umat Islam. Ia perlu
dikaji bagi mendapatkan satu resolusi yang jitu dan unggul agar dapat
memantapkan keyakinan dan kekuatan umat Islam agar sentiasa terus berpegang
dengan prinsip bahawa agama Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi dan
mulia daripada agama Islam itu sendiri.
Kertas ini akan cuba menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan “hedonisme” yang
berlaku pada hari ini dalam masyarakat dunia umumnya dan masyarakat Islam
Melayu terutamanya. Ia akan meliputi definisi, sejarah, sebab, kesan hedonisme
dan cara mengatasinya. Diharap agar kertas ini sedikit sebanyak menyumbang ke
arah masyarakat yang ideal.
Definisi
Secara harfiahnya, perkataan hedonisme berasal dari dua perkataan iaitu hedone
dan isme. Perkataan hedone berasal dari perkataan Yunani di mana asal istilah
ini mula wujud yang membawa maksud kesenangan atau kenikmatan.(Lorens bagus
2000 : 282) Manakala perkataan isme akhiran pada kata nama yang merujuk kepada
kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan dan juga sikap serta perlakuan.
(Kamus Dewan 2000 : 501)
Merujuk kepada kamus Al-Mughni Al-Akbar ( 1997 : 563) pula istilah hedonisme di
dalam bahasa Arab disebut dengan .
Mengikut istilah pula hedonisme beerti pegangan atau pandangan hidup yang
mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.(Kamus dewan.2000:448) Menurut
Lorens Bagus pula hedonisme ialah konsep moral yang menyamakan kebaikan dengan
kesenangan.( Lorens Bagus 2000 : 282) Manakala Mustafa Kamil Ayub menyatakan
bahawa hedonisme ialah satu sistem nilai Barat yang menilai kebaikan hanyalah
semata-mata keseronokan (pleasure) yang sama dengan nilai moral mereka iaitu
kesenangan dan keberuntungan. Objektif utamanya ialah keseronokan.( 1994 :
75-76)
Jika mengikut Ensiklopedia Dunia (2005 : 215) membahagikan maksud hedonisme
kepada dua iaitu mengikut falsafah klasik dan falsafah moden. Menurut falsafah
klasik, hedonisme membawa pengertian satu kepercayaan bahawa nikmat ialah
kebaikan yang tertinggi dalam kehidupan. Pada zaman Yunani purba, kaum Epicuren
dan Cyrenaic mengasaskan falsafah kaumnya pada idea bahawa nikmat merupakan
kebaikan manusia yang seharusnya mencari nikmat minda bukannya nikmat jasad.
Kaum ini memikirkan bahawa orang yang bijaksana akan mengelakkan nikmat yang
kemudiannya mungkin mendatangkan kesengsaraan. Dalam falsafah moden pula
golongan utilitarian hedonistik yang dipelopori oleh Jeremy Bentham dan J.S.
Mill mempercayai bahawa manusia tidak seharusnya mencari nikmat individu sahaja
tetapi hendaklah mencari kebaikan yang teragung untuk sebilangan manusia.
Hedonisme ialah ajaran filasafat, yang membawa maksud bahawa tujuan hidup
terfungsi adalah kesenangan. Hedonisme kuno diajarkan oleh Aristippus,
Demokritus, Epicurus, mengutamakan diri sendiri (egoistic) sedangkan hedonisme
moden dari falsafah Inggeris bersifat umum dalam erti sosial kebahagiaan yang
terbesar untuk jumlah orang yang terbesar. Tokoh-tokoh moden seperti Hebert
Spenser, Leslie Stephen, David Home, Jeremy Bentham, J.S. Mill. Henry Sidgwick,
Sir William hamilton.( Ensiklopedia Umum 1973 : 488)
Kesimpulannya, perkataan hedonisme membawa banyak pengertian mengikut
perspektif kajian sarjana terdahulu antaranya ialah kenikmatan, kesenangan,
keseronokan, keberuntungan dan kebahagiaan tetapi yang jelasnya istilah
hedonisme boleh dikatakan sebagai satu perkara yang mendatangkan faedah kepada
pengamalnya tanpa perlu memikirkan kesan dan akibat terhadap diri, masyarakat
dan negara. Apa yang perlu ialah keseronokan, kesenangan dan kenikmatan.
Latar belakang Hedonisme
Perkataan hedonisme telah mula dipakai semenjak zaman Yunani lagi iaitu zaman
yang melahirkan ramai tokoh falsafah yang terkemuka yang banyak mempengaruhi
ramai cendekiawan hingga ke hari ini. Boleh dikatakan bahawa istilah hedonisme
melalui dua fasa iaitu fasa Yunani iaitu sebelum masihi dan fasa Barat
(Renaisans).
Fasa Yunani
Tokoh istilah hedonisme di zaman ini ada ramai tetapi yang dinyatakan di sini
hanya yang terkemuka sahaja iaitu
1) Aristotle
Ada tiga pola hidup yang memuat kepuasan dalam dirinya sendiri iaitu hidup yang
mencari nikmat, hidup praktis dan hidup sebagai seorang filsuf. Hidup yang
mencari nikmat inilah yang disitilahkan sebagai Hedonisme. Hedonisme menurut
beliau ialah pencapaian kebahagiaan bukan denga kenyataan tetapi dengan
disertai dengan suatu tindakan. Dalam bahasa sekarang ialah manusia mencapai
kebahagiaan dengan mengembangkan potensi diri melaui kekuatan-kekuatan yang
dimilikinya dan bukan dengan bersikap menerima sahaja. (Franz Magnis 1997 :
31-32)
2) Epikuros
Zaman ini dikatakan sebagai zaman permulaan Hellenisme. Beliau menakrifkan
hedonisme dengan pencapaian kenikmatan setelah seseorang berjaya menguasai diri
dari melakukan sesuatu yang mendapat kenikmatan tetapi mendatangkan bahaya
selepas itu. Contohnya makan banyak akan mendatangkan penyakit. Beliu juga
turut digelar dengan hedonisme kasar. (Franz Magnis : 50)
3) Aristippus
Aristippus dikatakan telah menyempitkan erti hedonisme dengan erti kebahagiaan
itu dengan pencapaian kenikmatan indera manusia. Mungkin beliau mengemukakan
definisi begini kerana bagi melembutkan makna hedonisme yang sebelum itu
memerlukan pengorbanan untuk mencapai kenikmatan dan kebahagiaan. (H.Muh. Said
: 80)
Fasa Barat atau Renaisans
Istilah hedonisme ini muncul semula pada abad ke 17 setelah Barat mula bangkit
dari zaman gelap mereka. Ketika ini ramai cendekiawan Barat yang telah lahir
dan pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan dan sains mereka mula berkembang.
Perkataan renaisans juga boleh dirujuk kepada kebangkitan semula pembelajaran
Romawi dan Yunani di Eropah. Perubahan dari zaman kegelapan telah mengambil
masa yang panjang, sungguhpun demikian Renaisans telah memberi lebih peluang
begi kebebasan individu dari segi agama, penulisan, kebudayaan serta kesedaran
dan pencapaian yang cemerlang dalam sastera dan sains.( Sulaiman Nordin 1997 :
43)
Sebagaimana kebangkitan Barat hasil pemisahan pertentangan terhadap insitusi
gereja, begitu juga dengan nilai moral yang mereka miliki. Oleh kerana tidak
mempercayai unsur dalaman(rohani), istilah mencapai kebahagiaan (hedonisme)
mereka juga menolak ketuhanan atau unsur spiritual dan ia memiliki konsep yang
sama dengan Aristippus namun skop pencapaian kebahagiaan Barat lebih besar
iaitu untuk sebilangan besar manusia. (H.Muh. Said : 80)
Setelah itu istilah hedonisme terus berkembang mengikut falsafah sekular Barat
itu sendiri. Di dalam buku Pendidikan Islam yang telah diterbitkan oleh PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd menyatakan bahawa hedonisme adalah
merupakan salah satu konsep moral yang bersifat sekular yang telah muncul di
Amerika pada tahun 1876 yang dipelopori oleh Dr. Felix Adler dari Columbia
University. Ia bermula apabila Amerika berhadapan dengan resolusi yang dibawa
oleh American Ethical Union yang menyatakan ‘kepentingan yang amat penting”
ialah faktor etika perlu diasingkan dalam semua hubungan kehidupan peribadi,
masyarakat, bangsa, negara dan di peringkat antarabangsa. Golongan moral
sekular berpendapat baik atau buruk adalah persoalan yang termasuk dalam konsep
falsafah moral yang melahirkan pelbagai aliran falsafah moral sekular di
antaranya ialah aliran hedonisme yang membawa fahaman baik dan buruk merujuk
kepada pertimbangan nafsu dan naluri. ( Mardzelah Makhsin 2003 : 89-92)
Begitulah kronologi kelahiran hedonisme yang telah melalui pelbagai proses
perkembangan mengikut tokoh yang mempeloporinya tetapi yang wujud kini adalah
hedonisme yang diadaptasi dari Barat. Lebih membahayakan lagi, Barat bukan
sekadar menolak ketuhanan tetapi nilai moral dan etika yang baik juga ditolak
bagi mengasingkan terus nilai-nilai spiritual yang berkemungkinan hasil dari dendam
mereka terhadap institusi gereja yang pernah mencengkam mereka sebelum ini.
Hedonisme juga mempunyai beberapa pembahagian sebagaimana yang dikatakan oleh
A. Mangunhardjana (1997 : 91) iaitu :
1) Bagi golongan ilmuwan, kenikmatan mereka ialah pada perkara intelektual.
2) Bagi golongan sensual (bernafsu), kenikmatan mereka terbatas kepada
kenikmatan pancaindera.
3) Bagi golongan yang meminati seni, kenimatan mereka tertumpu pada nilai
estetik.
4) Bagi golongan yang mementingkan nilai etika, moral dan religi maka
kenikmatan mereka tertumpu pada perkara etika, moral dan religi.
Namun menurut A. Mangunhardjana lagi, istilah hedonisme seringkali terhenti
pada penakrifan hedonisme sebagai kenikmatan sensual yang lebih mudah difahami
dan lebih didekati yang menjadi tumpuan perbincangan ini.
Faktor-faktor Penularan Hedonisme
Ismail Ibrahim pernah membincangkan bahawa timbul pelbagai cabaran dan masalah
dala merealisasikan wawasan 2020. Masalah dan cabaran yang timbul ini terlalu
sukar untuk dibendung dan seolah-olah tidak terbendung kerana terlalu cepat,
pantas dan ruang lingkup yang besar untuk diatasi. Dua perkara yang dinyatakan
oleh beliau mampu menggugat moral dan etika yang ingin dipupuk bagi mencapai
wawasan 2020 iaitu kebendaan dan seks begitu mudah meresap ke dalam jiwa
masyarakat kini. (1996 : 87-89)
Secara tidak langsung dapat diketahui bahawa masyarakat kini sudah mula
menunjukkan mereka kini sedang dipengaruhi oleh budaya Barat Faktor-faktor
tersebut seperti berikut :
1) Penjajahan
Alwi Haji Abdullah menjelaskan bahawa sewaktu penjajahan berlaku dasar budaya
Barat dilaksanakan berselindung disebalik istilah ‘pemodenan’, kemajuan dan
pembangunan. Disebalik istilah inilah Barat berselindung untuk menyebarkan
nilai-nilai kehidupan, pemikiran, pendidikan, kemahiran teknologi dan sejarah
Barat. Proses “pemodenan” atau “pengeropahan” inilah yang mengekalkan
kesinambungan cengkaman pengaruh Barat. Dalam merealisasikan penjajahan budaya
ini, nilai-nilai tamadun Barat dijadikan ukuran sejagat ke atas tanah jajahan
dan dalam masa yang sama turut berlaku pemaksaan idea, ideologi, nilai,
pegangan amalan dan gaya hidup Barat. Tidak hairanlah jika sebuah negara bekas
jajahan Barat mengamalkan apa yang ditinggalkan oleh penjajah mereka. ( 2005 :
76)
Penjajahan menurut Zakaria Stapa ialah penjajahan pemikiran dan gaya hidup
pasca moden. Ini bermakna faham, pemikiran dan gaya hidup pasca moden satu
bentuk ancaman yang besar kepada umat Islam. Unsur-unsur sekularisme disebarkan
dalam berbentuk kecanggihan, kehebatan teknologi maklumat, komputer, teknologi
telekomunikasi dan satelit. Ini adalah kerana semua teknologi tersebut diberi
nafas oleh Barat.yang secara asasinya tidak selari dengan roh dan semangat
tamadun Islam, maka kemudahan dan manfaat yang dibawa oleh teknologi tersebut
membawa juga bersama ancaman kepada pegangan akidah dan penghayatan akhlak umat
Islam. Hasilnya, masyarakat Islam menganggap budaya hedonistik sebagai satu
perkara yang sudah menjadi adat dalam kehidupan mereka dan dari sini muncullah gejala-gejala
negatif sebagaimana yang sering tersiar melalui dada-dada akhbar mahupun
penulisan yang berkaitan dengan gejala ini ( 1999 : 137-148)
2) Globalisasi
Globalisasi menyebabkan dunia menjadi semakin mengecil dan masyarakatnya
menjadi saling bergantungan. Apa yang berlaku di satu rantau mempunyai kesan di
rantau lain. (Mohd Yusof 1996 :1) Ia juga boleh ditakrifkan sebagai dunia tanpa
sempadan, perkampungan dunia dan langit terbuka. Faktor berlakunya globalisasi
ialah ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang tinggi dan canggih.
Globalisasi boleh meninggalkan kesan terhadap pemikiran dan gaya hidup.
Globalisasi membolehkan pemindahan nilai dan cara berfikir serta cara bertindak
dari satu daerah ke satu daerah dunia yang lain. Barat menggunakannya untuk
memindahkan nilai mereka dalam bidang falsafah, pemikiran, ekonomi kapitalis
dan kebudayaan hedonisme (pegangan hidup mementingkan keseronokan) secara
serentak. (Pusat Dakwah Islamiah Brunei 2005 : 40-42)
3) Media massa.
Banyak penulisan sebelum ini yang membicarakan mengenai peranan media massa
dalam menyebarkan fahaman atau apa sahaja. Banyak kajian dan penulisan yang
menunjukkan bahawa media massa sebagai wasilah hedonisme .
Mustaffa Kamil Ayub telah menyatakan bahawa media massa mampu melakukan perkara
yang sukar dilakukan oleh manusia. Ia boleh menemui, bersemuka dan
berkomunikasi tanpa had dengan pelbagai bangsa. Apa yang berlaku di media massa
biasanya mempengaruhi penontonnya lebih-lebih lagi jika sesuai dengan kehendak
nafsu dan tidak ada kawalan. Kemajuan teknologi media massa dalam beberapa hal
akibat daripada kurangnya kawalan juga boleh membawa ke arah kerendahan budi
dan adab. Akibatnya berlaku pembocoran budaya yang kurang sihat berlaku secara
meluas dalam media massa di Malaysia. Atas alasan ingin tahu, mahu up to date
dan darah muda para belia, pelajar apatah lagi yang kurang didikan agama
memudahkan bertambahnya kes-kes keruntuhan akhlak.(1994 : 84)
Unsur-unsur yang dipaparkan juga kebanyakannya berunsur hedonistik atau nilai
gaya kebendaan yang boleh menarik perhatian orang ramai agar ia sentiasa
mendapat tempat dalam masyarakat. (Syed Mahadzir 2000 : 20 )
Oleh itu, media massa telah membawa suatu budaya baru dalam masyarakat
terutamanya kepada generasi muda. Budaya ini diolah daripada media yang saban
hari mengambil tempat ibu bapa sebagai satu tempelan kepada pembetukan
peribadi. ( Ummu Yusof 2000 : 13 )
4) Hiburan
Manusia suka kepada berhibur bagi menenangkan fikiran dan menghilangkan
tekanan. Ledakan hedonisme melalui hiburan yang paling besar di negara ini
ialah apabila bermulanya program hiburan berbentuk realiti seperti Akademi
Fantasia. Hafiz Hamzah mengatakan program realiti TV, Akademi Fantasia (AF)
benar-benar meledakkan pangaruh yang luar biasa di kalangan penonton rancangan
televisyen tanah air. Kemunculan Akademi Fantasia buat pertama kalinya di
siaran Astro pantas menjadi tajuk perbualan orang ramai tidak kira tua atau
muda. ( 2004 : 8-9) Jelasnya hiburan memang cukup sinonim dengan sanubari yang
menginginkan keseronokan dan kegembiraan lebih-lebih lagi hiburan itu adalah
hiburan yang serasi dengan jiwa kebiasaanya remaja yang sedang mencari identiti
mereka. hiburan dan hedonisme memang berkait rapat.
Keempat-empat faktor tersebut merupakan pemangkin gejala hedonisme yang
terbesar di dunia umat Islam kini namun ia sebenarnya bukanlah menjadi masalah
bagi dunia Barat yang memang sudah sebati dengan nilai tersebut.
Akibat Hedonisme
Hedonisme merupakan satu ancaman yang bahaya yang menyerang umat Islam dari segi
gaya hidup. Jika Muhammad Uthman (1977 :255) mengatakan ideologi sekularisme
menggunakan medium pendidikan Barat sebagai faktor penyebarannya, maka
hedonisme dapat dilihat melalui begitu menonjol sekali melalui hiburan.
Hedonisme meninggalkan kesan ke atas umat Islam di dalam dua perkara yang
dianggap teras agama Islam yang sepatutnya boleh bertindak sebagai pelindung
umat Islam iaitu :
1. Akidah
Akidah merupakan perkara tunjang kepada seseorang muslim. Akidah yang mantap
merupakan sumber kekuatan bagi seseorang muslim dalam melakukan kegiatan dan
melahirkan semangat berjuang yang tinggi. ( al-Ghazali 2001 : 185) Ia boleh
diiBaratkan sebagai akar tunjang yang menjunam jaum ke dalam tanah bagi
mengekalkan sebatang pokok sentiasa tegak berdiri. Tanpa akidah, akan rosaklah
nilai iman seseorang. Istilah hedonisme berintikan sekularisme memang
memencilkan soal akidah kerana jika wujud akidah ia tidak dapat berkembang
dengan bebasnya. Dalam hal ini, apabila seseorang mengamalkan ideologi ini
diBaratkan sebagai menolak ketauhidan dan sudah pastilah akidah sebagai galang
gantinya.
2. Akhlak
Akhlak iBarat pakaian seseorang dan tanpa akhlak seseorang diiBaratkan tanpa
pakaian. Akhlak merujuk kepada sikap seseorang tentang perhubungannya dengan
Tuhan, sesama manusia, alam sekitar dan haiwan. Orang yang baik akhlaknya, baik
hubungan denga Tuhan, manusia, haiwan dan alam sekitar dan sebaliknya.( Mohd
Yusof Ahmad 2003 : 136) Akhlak dalam Islam meliputi keseluruhan aspek kehidupan
seseorang muslim yang telah ditentukan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Hedonisme
ialah salah satu sistem moral dalam masyarakat Barat yang meletakkan pengukuran
keseronokan sebagai ukuran bagi semua pekerjaan yang dilakukan dan sudah
pastilah seronok itu dalam perkara-perkara yang berkait dengan nafsu. Apabila
nafsu tanpa kawalan akal, maka hancurlah akhlak.
Dua tunjang uatam dalam Islam ini sepatutnya bertindak menjadi senjata yang
paling ampuh dalam melawan ideologi Barat ini. Jika ia rosak, sememangnya tidak
patut dihairankan mengapa umat Islam boleh menjadi rosak juga.
.
Islam sebagai ubat
Setiap penyakit pasti ada ubatnya melainkan sakit tua dan mati, cuma masa yang
diambil untuk menyembuhkan sesuatu penyakit mungkin mengambil masa
berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Demikian
juga dengan penyakit mementingkan nafsu yang memerlukan pencegahan dan rawatan
yang begitu rapi dan teliti kerana jika tidak dibendung dan dikawal akan
menghilangkan jati diri sebagai umat Islam. Islam itu sendiri adalah sebagai ubat
bagi menghadapi gejala-gejala hedonisme dan berikut adalah aspek dalam Islam
yang boleh berfungsi sebagai pengawal dan pencegah hedonisme buatan Barat ini :
1) Dakwah
Dakwah bertujuan mendekatkan diri manusia kepada pencipta alam ini. Jika
seseorang itu bukan Islam maka dakwah bertujuan memperkenalkannya kepada Islam
sebagai jalan mengenal Allah dan jika sudah pun Islam maka dakwah bertujuan
meperkuatkan lagi penghayatan keislamannya. Dakwah kini perlu disebarkan
melalui skop yang besar sejajar dengan skop globalisasi. Ruang-ruang yang yang
tidak bersifat ketuhanan perlu segera diisi dengan roh Islamiah agar dapat
mengatasi masalah akidah dan akhlak manusia sebagaimana menurut Muhammad Uthman
(1977 : 265) perlaksanaan tugas dakwah islamiah dengan syarat-syarat dan aturan
yang baik dan tepat sebagaimana yang ada dalam ajaran rohaniah Islam perlu
dijalankan. Hal yang demikian adalah kerana di dalam dakwah penuh dengan
nasihat, pesanan keagamaan, dan bersifat sosial serta teladan yang mengajak
masyarakat menghindari diri dari hal yang negatif kepada hal yang positif. Ia
semakin signifikan apabila dakwah dapat dilakukan secara profesional merangkumi
semua lapisan masyarakat sekaligus menyentuh aspek fikiran dan rohani mad’u.
Keprofesionalan pendakwah perlu kerana masyarakat semakin bijak menilai tetapi
dalam masa yang sama mereka menghadapi kemelut dalaman yang meruncing. (J.
Suyuthi Pulungan 2002 : 65-66)
2) Konsep bersederhana
Sebenarnya Islam telah meletak garis panduan yang ideal kepada umatnya agar
dapat menjaga kemaslahatan ummah. Lakukanlah apa jua pekerjaan dan perkara
tetapi harus beringat supaya tidak melampaui batas kerana agama Islam adalah
agama yang menyuruh umatnya bersederhana sebagaimana firman Allah S.W.T. (2 :
143)
Maksudnya :
“Dan demikianlah kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ummat yang adil dan
pilihan , agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia”
3) Ilmu Pengetahuan
Menuntut ilmu memang diwajibkan oleh Islam ke atas umatnya. Umat Islam mestilah
mengenal pasti secara total segala permainan pemikiran dan cara-cara
mengatasinya mengikut panduan ulamak. (Abdullah Nasih Ulwan 2003 : 99) Tanpa
ilmu pengetahuan, satu bangsa pun tidak akan maju dan boleh membina tamadunnya
sendiri. Ilmu pengatahuan akan mengelakkan umat Islam dari terpengaruh ke dalam
unsur-unsur sekularisme tidak kira dari apa jua bentuknya.
4) Malu
Rasa malu adalah adalah unsur yang positif dalam tabiat manusia. Rasa malu
mengungkapkan nilai nilai keimanan seseorang dan menunjukkan tingkat
peradabannya. (Al-Ghazali 2001 : 303) Sebagaimana hadis yang menyarankan agar
umat Islam bersifat malu. Malu di sini bermaksud malu mengerjakan kejahatan dan
segala perbuatan yang hina atau malu kerana ketinggalan dalam melakukan
kebaikan dan kemuliaan. Malu seperti ini akan menjaga manusia dari kejahatan
dan membawa kepada keselamatan dan kemajuan.
Penutup
Aliran pemikiran yang didalangi oleh Barat biasanya mempunyai agenda yang
tersendiri yang pada kebiasaannya bertujuan melemah, merosak dan menghancurkan
umat Islam. Justeru itu, masyarakat Islam mahupun bukan Islam yang ada kini
perlu diadakan sesuatu bentuk perlindungan yang mantap bagi memelihara kesucian
fitrah mereka agar sejajar dengan tuntutan masyarakat yang berakhlak dan paling
penting selari dengan kehendak Islam. Pendekatan demi pendekatan perlu
dilakukan saban hari bagi melindungi manusia dari terjerumus ke lembah nafsu
kebinatangan yang pada realitinya perkara ini ditentang oleh semua golongan
yang masih berpegang kepada nilai kebaikan dan kesopanan. Individu, masyarakat
dan negara yang boleh mengawal sebarang ideologi yang negatif akan terhindar
daripada masalah seperti yang semakin membarah kini.
Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak memilih, mengguna dan mengubahsuai
sesuatu produk agar tidak menimbulkan masalah dikemudia hari dan lebih baik
lagi jika kita yang menjadi cermin produk Islam yang sememangnya sudah ada
dalam Islam cuma perlu digilap kembali agar ia kembali bersinar.